iklan

Sunday, June 2, 2013

Eira Syazira Tidak mahu anak popular

TIDAK mahu anak popular dan akan beri tunjuk ajar sebaik mungkin.

MENJADI penghias Hits buat kali ini, Eira Syazira tampil di Studio Utusan untuk sesi fotografi dengan wajah yang cukup riang dan gembira. Memang tidak dapat dinafikan walaupun pertama kali bersua muka dengannya, dia seorang yang peramah, ceria dan suka berterus terang.
Berasal dari Kuala Lumpur dan tahun ini usianya menjangkau 29 tahun. Anak kelahiran ibu kota ini bagaimanapun menjalani usia kecil dan remajanya di negeri Kelantan.

Kini dia sudah bergelar seorang ibu. Setelah empat bulan bergelar ibu, kegembiraan jelas terpancar pada wajah figura berkulit putih kuning ini. Apatah lagi apabila
menyentuh perihal cahaya mata sulungnya, Amarra Sofea Rose yang dilahirkan pada 11 Januari lalu hasil perkongsian hidupnya dengan suami, pelakon Azad Jazmin.

Kali pertama, pengalaman pertama. Siapa jua akan berdepan perasaan sedemikian bahkan untuk ibu-ibu yang sudah ,mempunyai anak, setiap kelahiran pasti memberi pengalaman yang berbeza.
"Menjadi ibu sebenarnya adalah sesuatu yang indah. Semasa hamil dulu, saya memang tidak sabar menanti tetapi dalam masa yang sama berasa takut memikirkan situasi hendak bersalin.
"Macam-macam cerita yang saya dengar, adakalanya buat saya bertambah takut tapi itulah yang saya mahu tahu," katanya yang sedang sibuk untuk penggambaran drama sempena bulan puasa.
Mengambil langkah untuk tidak mengupah seorang pengasuh bagi menjaga Amarra, Eira akui dia lebih suka menjaga Amarra sendiri.

"Saya sebenarnya tidak percaya pada orang untuk menjaga Amarra. Kadang-kadang emak mentua akan turun ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menjaga Amarra sekiranya saya dan suami sibuk dengan kerja masing-masing.

"Cuma saya akan panggil dan upah seorang pembantu tiga kali seminggu untuk membersih dan mengemas rumah," kata Eira yang sudah mula menerima tawaran berlakon sejak dalam pantang lagi.
Tetapi Eira tidak rakus untuk menerima setiap tawaran yang datang. Katanya, tidak bersedia lagi untuk berada dalam landasan yang betul. Memang rezeki anak nampaknya kerana kelahiran Amarra memang membawa seribu erti kepada Eira.
"Habis sahaja 100 hari berpantang, baru saya kembali menerima tawaran itu. Alhamdulillah, rezeki anak saya buat keluarga.

"Masa pantang, memang saya sudah menolak satu telemovie dan satu drama berepisod sebab Amarra menyusu badan. Jadi masa itu memang saya fokus sehabis baik untuk anak saya," jelasnya yang sudah mendapat tawaran sehingga lepas hari raya.

Sejak lahirnya puteri kesayangan, Eira dan Azad juga dilihat semakin popular di laman Keek dengan mempunyai lebih empat juta menonton video pendek yang dimuat naikkan dalam laman tersebut.
Wah, Amarra semakin popular? Mengalahkan ibu dan ayahnya pula. Jadi, Eira dan Azad, bersedialah menanti, populariti Amarra akan lebih hebat daripada anda berdua.
Namun, bagi Eira, dia tidak akan membiarkan anaknya untuk berlakon dalam mana-mana produksi kerana masih kecil.

"Mungkin kalau dalam iklan komersil, saya akan benarkan. Kalau dalam drama, saya kena fikir berjuta kali.
"Saya dan suami sudah tahu macam mana susah payah jadi seorang pelakon. Itu adalah tanggungjawab saya dan suami sebagai ibu bapa kepada Amarra untuk memberi tunjuk ajar apa yang perlu dan apa yang tidak perlu," jelasnya.


Sumber : Utusan Melayu

LinkWithin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved KorpustanpaSempadan.blogspot.com

Powered By Korpus tanpa Sempadan
.