KEMUNCULAN pelantun Sayang, Shae sememangnya dinantikan peminat di Malaysia. Sementelah kehadirannya di majlis Anugerah Bintang Blokbuster 2013 Sabtu lalu, turut mencuri perhatian ramai.
Lebih meriah apabila persembahan penyanyi cantik dari Seberang ini turut diiringi Bobo yang terkenal dengan gaya parodi tersendiri menerusi lagu Sayang.
Seakan menjadi fenomena, gandingan mereka di pentas Anugerah Bintang Blokbuster itu menggamatkan suasana sekali gus membuktikan
pengaruh parodi turut merancakkan lagi industri seni negara.
Baik Shae mahupun Bobo, mengakui mereka bersedia untuk bekerjasama jika diberi peluang. Kata Shae, dia sebenarnya teruja apabila lagunya diparodikan oleh Bobo sehingga namanya menjadi sebutan di sini.
“Saya masih baru dalam industri dan masih mencari nama di negara ini, namun kerana parodi Bobo itu, saya semakin dikenali. Saya sangat senang jika dapat berkolaborasi dengan Bobo, lagipun saya yakin peminat pasti akan suka,” katanya.
Shae berkata, dia harap persembahan bersama Bobo malam itu menjadi kenangan manis buat peminat mereka.
“Saya cukup seronok apabila mendapat tahu akan melakukan persembahan bersamanya, lagipun ini kali pertama saya sebagai penyanyi asal bertemu dengan orang yang membuat parodi lagu saya dan sepentas dengannya,” katanya yang kini muncul dengan lagu terbaru, Cintaku Telah Mati Untukmu.
Bobo intai peluang
Berkongsi perasaan Bobo apabila diundang untuk menjayakan persembahan bersama Shae di majlis itu, dia sebenarnya tidak pernah menyangka akan menerima peluang keemasan itu.
"Saya di sini kerana lagu Sayang nyanyian Shae. Sudah tentu saya sangat gembira jika dapat melakukan kerjasama dengannya.
“Memang saya tidak menduga akan diberi penghargaan seperti ini dan saya sendiri masih terkejut dengan tawaran itu.
"Perasaan teruja tu memang tak dapat digambarkan dan saya sangat gementar untuk beraksi di hadapan khalayak," katanya yang kini bernaung di bawah produksi milik Datuk Mejar David Teo.
cc ; SH