iklan

Friday, June 14, 2013

FAM tak boleh jaga semua, memang sukar: Azzuddin







Kuala Lumpur: Bukan tugas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 'menjaga rumah tangga atau dapur rumah orang lain', kata Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad.  “Itu asasnya dan kalau hendak mengharapkan FAM jaga semua sukar dilakukan,” katanya merujuk kepada kenyataan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa FAM gagal
membantu persatuan itu yang menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji pengurusan dan pemain, musim ini. 


FAM sudah sediakan peruntukan untuk setiap persatuan negeri dan kelab yang mana ia diberikan sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula. Jika persatuan dan kelab terbabit memerlukan peruntukan tambahan, mereka perlu cari dana sendiri." Datuk Azzuddin Ahmad, Setiausaha Agung FAM



Shahidan yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyifatkan peraturan digunakan FAM sebagai undang-undang tidak siuman.


Ini kerana tindakannya cuba membantu PFA yang menghadapi masalah kewangan itu dilihat oleh FAM sebagai melanggar peraturan berikutan beliau masih menjalani hukuman penggantungan 30 bulan dan denda RM39,000 kerana didapati bersalah atas empat pertuduhan termasuk mengeluarkan kenyataan menyalahi Artikel 88 FAM.

Shahidan juga kehilangan kedudukannya sebagai Presiden PFA, Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan Ahli Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga 2015.
Azzuddin berkata, FAM sudah melakukan apa sepatutnya termasuk pemberian geran tahunan kepada setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Setiap pasukan Liga Super mendapat geran RM350,000 manakala Liga Perdana RM250,000 dan jika pasukan terbabit memerlukan peruntukan tambahan, mereka perlu mencari dana sendiri termasuk menerusi penajaan.

“FAM sudah sediakan peruntukan untuk setiap persatuan negeri dan kelab yang mana ia diberikan sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula. 

“Jika persatuan dan kelab terbabit memerlukan peruntukan tambahan, mereka perlu cari dana sendiri.

“Itu asasnya dan kalau nak suruh FAM jaga semua, memang susahlah kerana bukan tugas kita nak jaga rumah tangga orang atau dapur rumah orang lain,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Ditanya mengenai FAM akan mengkaji terlebih dahulu tindakan terhadap Shahidan atau sebaliknya kerana bekas Menteri Besar Perlis itu kini menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau enggan mengulas lanjut.

Mengulas kenyataan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menuduhnya sebagai punca masalah dalaman FAM, Azzuddin berkata belia enggan melayan segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

“Bagi saya ini (kritikan) dah jadi perkara biasa dan tidak ada apa-apa kelainan dari segi tekanan. Hampir enam tahun saya lalui semua cabaran ini dan sebagai bekas anggota tentera, saya sedia harunginya.

“Saya pegang kepada Statut FAM yang mana pelantikan dan pemecatan saya bergantung kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah. Tidak ada pihak yang boleh desak saya undur kecuali Sultan Ahmad Shah,” katanya.





Sumber :BH

LinkWithin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved KorpustanpaSempadan.blogspot.com

Powered By Korpus tanpa Sempadan
.